Taman Sari, Sejarah yang Sirna - Bahagian 1

"Burung gereja yang bertengger di tembok Taman Sari, Upik,
Seperti memanjangkan kenangan pada kota tua, bangunan tua
Yang rapuh dan runtuh sampai memori kita terjatuh
Di atas buku sejarah, catatan harian, dan cerita kepedihan
Yang tak sempat dibaca zaman

Bukan sebab air mata, huru-hara, atau pelopor peluru
Jikalau kepak sayap itu menggigil. Barangkali sebagaimana
Kisah yang kita kita bangun sendiri tentang bata-bata yang remuk
Berhamburan lalu kita termangu:
Adakah setiap kerusakan dimulai dengan dendam dan peperangan?
Hmmm, kita terdiam
Juga mengigil mencipta ilusi
….
Nampak lamat abjad-abjad terbaca. Dan aku
Memburu berita dari lipatan-lipatan wajah renta dan kau
Sayu menatap atas mesjid yang berlubang, seperti ingin menulis
Puisi yang di atasnya bertengger burung gereja, sorak kumandang
Dan sepi bata-bata di atas reruntuhan

Upik, masih ingat puisi yang sekejap kita baca?
Mungkin aku dan kamu keliru membaca huruf-huruf Tuhan,
tapi kita begitu yakin menulisnya dalam catatan."

-Hasta Indiryana, dipetik dari blog Penjalanjauh.

Bagi yang pernah sampai ke Yogjakarta, Taman Sari merupakan salah satu destinasi wajib dilawati. Dikenali sebagai Istana Air Taman Sari, kawasan seluas 10 hektar ini dahulu merupakan tempat rekreasi keluarga pemerintah semenjak tahun 1758 di zaman pemerintahan Sultan Hamengkubuwono I. Terletak di Jalan Taman, para pengunjung hanya perlu mengambil masa 15 minit dari Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat  (tempat ratu bersemadi) yang asal perkataannya "ke-ratuan" dalam bahasa Melayu.







Serba sedikit tentang sejarah Taman Sari ini. Ia dikenali sebagai Istana Air (English: Water Castle) (Dutch: Waterkasteel) oleh kerana jika ditutup semua sekatan tali air, seluruh kawasan ini akan ditenggelami air kecuali struktur bangunan yang tinggi. Dipercayai juga, teknik ini adalah salah satu teknik pertahanan jika diserang musuh. Para penghuni Taman Sari pada ketika dahulu boleh menyelamatkan diri melalui pintu-pintu khas yang akan membawa mereka ke tempat yang selamat menulusuri lorong-lorong sulit yang dibina ketika Taman Sari ini dibangunkan.



Taman Sari dibina 3 tahun selepas Giyanti mempersetujui tempat ini dijadikan tempat rehat Sultan Hamengkubuwono 1. Sebanyak 59 bangunan termasuk sebuah masjid, bilik bersemayam, kolam mandian, dan 18 jenis taman air dan pavilion memenuhi 10 hektar kawasan ini dan dikelilingi oleh tasik buatan. Komplek ini digunakan sepenuhnya diantara tahun 1765 sehingga tahun 1812.

Dari segi arkitekturnya, seluruh bangunan mempunyai ciri-ciri seni bina yang lain dari yang lain. Dapat dilihat ukiran-ukiran tradisional Jawa dan Melayu pada papan cucur atap, unsur-unsur seni bina Melayu juga terdapat disekitar bangunan seperti jeriji dan lubang angin yang bermotifkan bunga tempatan. Selain itu, terdapat juga unsur-unsur dari negara Eropah seperti penggunaan plaster dinding, semen konkrit, saliran hidrolik yang menunjukkan satu kemahiran yang canggih jika dibandingkan dengan kemudahan yang ada di Indonesia pada abad ke-18. Taman-taman air juga jika dilihat, ada persamaan dengan ketamadunan dari negara Asia Barat seperti rumah-rumah mandian dizaman Empayar Ottoman. Namun, asal usul seni bina ini masih menjadi teka-teki pengkaji sejarah tempatan mahupun dari luar negara.






Banyak kerosakan berlaku semasa penjajahan British (1812) dan Perang Jawa (1825-1830). Gempa bumi pada tahun 1867 mengakibatkan bahagian utama komplek ini rosak yang menyebabkan air di tasik buatan dan taman-taman menjadi kering . Sejak dari itu, kawasan Taman Sari ini dihuni oleh gelandangan-gelandangan, dan rumah-rumah dibina dikawasan bekas tasik. Pada hari ini, seluruh kawasan Taman Sari dipenuhi dengan penduduk tempatan yang menganggap kawasan tersebut adalah tempat kediaman mereka. Jika anda melawat Taman Sari pada hari ini, anda akan melihat lorong-lorong, dan sesetengah bahagian bangunan di gunakan bagi menjalankan aktiviti harian penduduk setempat seperti memasak, menyidai baju dan berniaga.



Harga tiket masuk ke Taman Sari tidaklah terlalu mahal, untuk sekali masuk  dikenakan cas Rp. 5.000. Bayaran parkir di pintu masuk utama tidak termasuk sekali dalam cas tiket. Jika masuk dari Sumur Gemuling, para pengunjung dikehendaki membayar hargar parkir sahaja. Bagi sesiapa yang gemarkan sejarah dan cerita-cerita mitos yang terjadi di kawasan Taman Sari ini, bolehlah mengupah pemandu pelancong dengan harga sekitar Rp. 25.000,. 'Guided tour' ini biasanya hanya mengenakan bayaran sekadarnya. Para pengunjung boleh berunding dengan mereka yang boleh didapati di sekitar kawasan Taman Sari dan pintu masuk utama Taman Sari.

Pada tahun 1995, Kompleks Istana Yogjakarta dan Taman Sari telah dicalonkan dalam senarai tapak berpotensi untuk Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO. Lihat senarai Tapak Bersejarah Dunia di sini.

Dalam menulusuri kawasan Taman Sari ini, aku terbayang betapa sejarah itu jika dibiarkan, maka hapuslah budaya, hapuslah segala kekuatan sesuatu bandar itu. Tiada lagi unik, tiada lagi tarikan. Hanya kosong, tinggal cerita-cerita mitos yang hanya didengari dari mulut orang tua.
Karena itulah, menulis sejarah sebenarnya adalah ibarat membuat andaian. Mungkin juga membayangkan. Sebab tak ada yang tepat dari penulisan sejarah. “Rekonstruksi”, kata Louis Gottschalk, tak akan pernah sama dengan “konstruksi”. “Peristiwa Proklamasi 1945” tidak akan pernah sama dengan “cerita tentang Proklamasi 1945”. - Dipetik dari blog Penjalanjauh.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyumbang kearah pembaikan dan pemuliharaan kawasan bersejarah ini, boleh lah menyumbang ke World Monuments Fund yang mana mereka akan menggunakan wang sumbangan untuk menjadikan tempat ini terpelihara dan diselenggara dengan baik. Antara hasrat kerajaan Indonesia juga adalah untuk menjadikan tempat ini UNESCO World Heritage Site.

Share this:

0 comments:

Post a Comment